Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Irau Rayeh Lundayeh kembali Jun depan

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Sambutan Pesta Besar Lundayeh Sabah, atau lebih dikenali sebagai Irau Rayeh Lundayeh, bakal kembali memeriahkan daerah Sipitang pada Jun tahun depan.

Program itu dijangka akan menampilkan keunikan budaya masyarakat Lundayeh yang merentasi sempadan negara.

Pengerusi Persatuan Lundayeh Sabah (PLS), Datuk Pengiran Lalung, berkata penganjuran pesta dwitahunan itu akan menampilkan kelainan tersendiri bagi memastikan sambutannya terus relevan dan menarik minat masyarakat pelbagai kaum.

“Setiap kali penganjuran akan membawa pembaharuan tersendiri kerana sambutan ini diadakan dua tahun sekali.

“Kertas kerja akan dimajukan kepada kerajaan negeri Sabah untuk pertimbangan dan sokongan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa, di Istana Seri Kinabalu.

Menurut Pengiran, pesta berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk memperkenalkan adat dan budaya kaum Lundayeh di Sabah, malah turut menghubungkan masyarakat serumpun dari Sarawak, Indonesia, dan Brunei.

“Walaupun terdapat sedikit perbezaan yang dipengaruhi budaya tempatan masing-masing, masyarakat Lundayeh di rantau ini tetap berkongsi akar tradisi yang sama,” jelasnya.

Selain persembahan kebudayaan masyarakat Lundayeh, pesta itu juga bakal menampilkan pertunjukan kesenian dari etnik-etnik sekitar sempadan Sabah dan Kalimantan, menjadikannya platform penting dalam memperkukuh hubungan budaya serantau.

Dalam pada itu, kunjungan hormat delegasi PLS ke Istana Seri Kinabalu turut bertujuan menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Musa atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.

Setakat ini, PLS mempunyai lebih 1,000 ahli di seluruh negeri, dengan kira-kira 800 orang menetap di sekitar Sipitang, yang juga menjadi lokasi utama komuniti Lundayeh di Sabah.

LEAVE A RESPONSE