Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Dua warga asing cuba seludup minyak subsidi ditahan

Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh Ahmad Husnayan

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai terbabit dalam cubaan menyeludup keluar minyak petrol subsidi bernilai lebih RM111,000 ke negara jiran, awal pagi semalam.

Kedua-dua suspek ditahan dalam operasi khas dijalankan antara jam 7.50 malam pada 3 November hingga 3.45 pagi, 4 November di perairan Pulau Boheian dan Tanjung Manimpa, hasil risikan Unit Risikan Marin bersama bot ronda PPM Semporna.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, berkata operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan dua bot laju bersama dua enjin serta 112 gelen berisi minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk minyak, bot dan enjin berjumlah RM111,277.75.

“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil pemantauan berterusan di kawasan perairan berisiko tinggi yang sering menjadi laluan utama aktiviti penyeludupan barangan kawalan.

“PPM Wilayah 4 akan terus mempergiatkan rondaan dan risikan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Sabah, bebas daripada sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara,” katanya.

Menurutnya, PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan untuk mengaut keuntungan haram.

LEAVE A RESPONSE