Penduduk Papar harap calon menang PRU beri tumpuan tingkat, naik taraf infrastruktur jalan raya
Read Time:1 Minute, 49 Second
Oleh Rhea Dharmin
PAPAR: Peningkatan kemudahan infrastruktur khususnya jalan raya yang lebih baik menjadi antara harapan utama rakyat daerah ini.
Pembangunan secara konsisten yang dilaksanakan di Papar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan aktiviti ekonomi di sini menjadi lebih rancak dari sebelumnya.
Kemeriahan pembangunan yang semakin pesat ini sekaligus memperlihatkan usaha konsisten kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masa kini dalam membangunkan sesebuah daerah.
Susulan itu, infrastruktur jalan raya yang lebih baik juga menjadi antara aspek penting bagi memastikan kelancaran aktiviti ekonomi selain berfungsi sebagai kemudahan perhubungan lebih selamat.
Ziela Abu Bakar, 49, penjawat awam berkata menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) ini, beliau berharap calon khususnya yang bakal mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis kelak prihatin terhadap keselamatan dan keselesaan rakyat.
“Sebagai penduduk DUN Pantai Manis, saya berharap PRU kali ini membawa perubahan positif kepada semua kawasan.
“Semoga calon yang dipilih dapat memberi perhatian kepada keperluan rakyat, terutamanya keadaan jalan raya yang masih banyak perlu dibaiki demi keselamatan dan keselesaan semua,” katanya.
Sementara itu, Nuralieya Marzuki, 28, eksekutif sumber manusia berkata beliau mengharapkan pembangunan daerah ini meningkat lagi.
Namun pada masa sama, beliau turut berharap agar kesinambungan meningkatkan pembangunan khususnya menaik taraf dan baik pulih infrastruktur jalan raya antara perkara utama yang akan diberi keutamaan oleh calon yang bakal mewakili DUN Kawang kelak.
“Untuk PRU kali ini, saya berharap calon akan tampil dengan solusi untuk memberi perhatian terhadap pembaikan dan menaik taraf khususnya jalan raya yang rosak.
“Keselamatan di jalan raya adalah perkara penting. Dengan jalan raya yang selamat, sekurang-kurangnya dapat menurunkan angka kemalangan jalan yang berkait dengan jalan raya rosak,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Saufi Shaffi, 33, guru, berkata daerah Papar mempunyai potensi besar untuk terus maju namun pada masa sama penambahbaikan infrasruktur asas harus menjadi tumpuan bakal calon yang memenangi PRU.
“Sebagai penduduk daerah Papar, saya amat berharap agar kepimpinan yang bakal dipilih pada PRU kali ini dapat memberi tumpuan yang lebih serius terhadap penambahbaikan infrastruktur asas di daerah ini.
“Papar mempunyai potensi besar untuk terus maju, namun masih terdapat keperluan mendesak seperti jalan raya yang lebih baik, selain sistem saliran lebih teratur bagi mengatasi masalah banjir, serta kemudahan awam lebih selesa untuk rakyat,” katanya.






