SANDAKAN : Tindakan pantas diambil selepas sebatang pokok buluh yang tumbang dan menghempap kabel telekom di Jalan Cecily dipotong bagi mengelakkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.
Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata pihaknya segera turun padang sebaik menerima laporan berkenaan.
“Kami telah melaksanakan kerja-kerja seperti ini sejak dahulu lagi dan akan terus melakukannya demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Hiew, inisiatif pembersihan dan penyelenggaraan kawasan sekitar Karamunting merupakan usaha berterusan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku akibat pokok tumbang atau keadaan persekitaran yang berisiko.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR atas tindakan pantas dan kerjasama erat dalam menyelesaikan aduan berkenaan.
“Kerjasama dan kepekaan penduduk amat penting. Jika ada situasi berbahaya, segera laporkan kepada pihak kami atau agensi berkaitan supaya tindakan dapat diambil dengan cepat,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan komuniti akan terus menjadi keutamaan dan kerjasama antara masyarakat serta pihak berkuasa akan diperkukuh dari semasa ke semasa.- SABAH MEDIA





