Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Atlet Austria Peter Luftensteiner dan wakil Turki Sinem Francisca Tous Servera muncul juara keseluruhan Asia Triathlon Cup Kota Kinabalu 2025 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini baru-baru ini.
Pertandingan edisi tahun ini menyaksikan saingan sengit dalam format sprint triathlon yang melibatkan renangan sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian enam kilometer.
Peter menamatkan saingan kategori Lelaki Elit dengan catatan masa 55 minit 48.2 saat, menewaskan pencabar terdekatnya dari Australia, Logan Campbell yang mencatat masa 55:55, manakala atlet Romania, Felix Duchampt, berada di tempat ketiga dengan masa 56:04.
Tempat keempat dan kelima masing-masing disandang oleh Ryoya Tamazaki dari Jepun (56:16) dan Luke Blake dari Australia (56:23).
Bagi kategori Wanita Elit, Sinem dari Turki menampilkan aksi cemerlang dengan masa keseluruhan 1 jam 03 minit 10 saat, diikuti atlet Jepun Sarika Nakayama (1:03:51) dan Ji Yeon Kim dari Korea Selatan (1:04:44) di tempat ketiga.

Atlet Jepun, Yuki Sugihara (1:05:08) dan wakil Indonesia, Kayla Nadia Shafa (1:05:11) melengkapkan senarai lima terbaik.
Kesemua pemenang dalam lima kedudukan teratas setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing sebanyak USD850, USD600, USD450, USD200 dan USD100.
Sebanyak 73 atlet terdiri daripada 51 lelaki dan 22 wanita mengambil bahagian dalam kejohanan ini, yang merupakan salah satu siri Continental Cup di bawah kelolaan World Triathlon, badan pentadbir sukan triathlon antarabangsa.
Acara ini dianjurkan oleh XMultisport Event dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) serta UMS.
Majlis makan malam bagi para peserta diadakan pada malam Jumaat dengan Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Josie Lai sebagai tetamu kehormat, manakala Timbalan Setiausaha Tetap, Mary Isidore Malangkin, menyampaikan hadiah kepada pemenang wanita pada hari pertandingan. SABAH MEDIA






