Read Time:2 Minute, 14 Second
Oleh Florieta Diet
KENINGAU: Dua penduduk di daerah ini terus menyatakan sokongan terhadap kepimpinan penyandang wakil rakyat masing-masing, walaupun kedua-dua pemimpin itu kini menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas keluar daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Emily Jeneble dari Kampung Batu Lunguyan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid menyatakan sokongan terhadap Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, iaitu penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid.
Emily menekankan bahawa Flovia merupakan seorang pemimpin yang prihatin terhadap keperluan rakyat dan banyak membantu melalui sumbangan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas serta kerap turun padang mendengar keluhan penduduk.
“Di tempat kami, beliau sangat menyokong komuniti peniaga kraftangan kecil. Beliau banyak memberi pendedahan kepada kami, termasuk peluang menyertai pelbagai pameran. Beliau sentiasa memberi semangat dan sokongan kepada komuniti wanita di DUN Tulid,” katanya.
Menurut Emily, keadaan jalan raya di kawasan itu juga baik dan beberapa laluan ke kebun atau ladang turut dibuka bagi memudahkan petani membawa keluar hasil pertanian mereka. Katanya, bekalan air di kawasan mereka juga tidak bermasalah kerana sebahagian kawasan menggunakan bekalan air graviti.
“Kecuali ketika bencana baru-baru ini, kami menghadapi gangguan bekalan berlaku hampir sebulan.Namun beliau tidak berdiam diri, sebaliknya bekerjasama dengan agensi kerajaan di Keningau untuk membekalkan air kepada kami sehingga gangguan air pulih,” katanya lagi.
Beliau berharap pada penggal akan datang, tumpuan dapat diberikan kepada peningkatan taraf ekonomi rakyat serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Keningau.
“Memperkasa ekonomi setiap kampung adalah cara terbaik untuk membangunkan komuniti. Kami tidak perlukan bangunan tinggi jika ekonomi rakyat belum mencapai tahap memuaskan,” tambahnya.
Sementara itu, Azrol Marius dari Kampung Linonsod menyatakan sokongan terhadap Datuk Annuar Ayub Aman, penyandang ADUN Liawan, yang disifatkannya sebagai pemimpin rajin dan komited melaksanakan tanggungjawab.
Beliau berkata pelbagai pembangunan telah dilaksanakan di kawasan itu termasuk pembinaan dewan, balai raya dan jalan raya. Malah, jambatan yang terputus akibat bencana baru-baru ini kini hampir siap dibina semula berhampiran tempat tinggalnya.
“Saya berpuas hati dengan kerja keras beliau untuk rakyat Liawan. Walaupun beliau asalnya daripada STAR dan kini bersama GRS, saya tetap menyokongnya kerana perjuangannya untuk rakyat,” kata Azrol yang menegaskan sokongan diberikan berasaskan kepimpinan, bukan parti.
Azrol turut berharap kerajaan pada masa akan datang terus membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini, khususnya di Keningau bagi mengelakkan anak-anak muda ini berhijrah.
“Saya mempunyai ahli keluarga yang telah bekerja di Semenanjung Malaysia dan juga di luar negara selama hampir lapan tahun. Mereka berhijrah kerana peluang pekerjaan serta gaji di sana yang lebih baik.
“Jika lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di Keningau, anak-anak muda pasti akan terus tinggal dan berbelanja di sini. Ini secara tidak langsung dapat merancakkan penjanaan ekonomi di daerah ini,” katanya.






