Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Bantuan yuran MUET bukti keprihatinan Kerajaan Sabah terhadap pelajar B40

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD : Inisiatif Bantuan Yuran Peperiksaan MUET untuk Pelajar B40 (BAYU) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Sabah mendapat sambutan positif dalam kalangan pelajar prauniversiti negeri ini, khususnya calon Malaysian University English Test (MUET) Sesi 3 2025.

Beberapa pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi yang ditemui mengakui bantuan tersebut bukan sekadar meringankan beban kewangan, tetapi juga bukti keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pendidikan anak muda Sabah.

Pelajar Titie Husna Kamrudin, 19, berkata pengumuman mengenai BAYU memberikan kelegaan besar buat dirinya dan rakan-rakan yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Saya sangat bersyukur apabila mengetahui kerajaan negeri menanggung yuran MUET kami.

“Ia meringankan beban ibu bapa, dan saya dapat gunakan semula wang RM150 itu untuk membeli bahan ulang kaji serta alat tulis,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini

Titie menambah, inisiatif seumpama ini memberi motivasi tambahan kepada pelajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Titie

Bagi Muhammad Ilham Rasyasi Yusof, 19, bantuan yang disalurkan melalui BAYU membuktikan bahawa kerajaan negeri benar-benar memahami kesusahan pelajar B40 di Sabah.

“Tidak semua pelajar mampu bayar yuran MUET. Ramai antara kami datang dari luar bandar, jadi bantuan seperti ini memang sangat membantu,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memperluas skim bantuan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi agar pelajar Sabah terus dibantu sehingga menamatkan pengajian.

Seorang lagi calon MUET, Aaron Torres Mobie, 19, berkata usaha kerajaan negeri membiayai yuran peperiksaan menunjukkan komitmen terhadap pembangunan modal insan di Sabah.

“Langkah ini bukan sahaja membantu pelajar dari segi kewangan, tetapi memberi semangat kepada kami untuk terus berusaha.

“Kalau kerajaan teruskan program ini, pasti lebih ramai pelajar cemerlang dapat dilahirkan,” ujarnya.

Bagi Sesi 3 MUET 2025, ujian lisan telah bermula pada 29 Oktober hingga 6 November, manakala ujian bertulis merangkumi reading, writing, dan listening akan dilaksanakan pada 22 November ini. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE