Read Time:1 Minute, 9 Second
KOTA KINABALU : Penduduk di beberapa daerah di Sabah diingatkan agar berwaspada susulan ramalan awal kemungkinan berlaku banjir mulai hari ini hingga esok.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam satu kenyataan memaklumkan, ramalan itu dikeluarkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Isnin.
Menurut PRABN, antara kawasan yang dijangka terjejas ialah daerah Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort di Bahagian Pedalaman; Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud di Bahagian Pantai Barat; serta Kudat di Bahagian Kudat.
Beberapa lembangan sungai utama seperti Sungai Padas, Sungai Benoni, Sungai Moyog, Sungai Inanam, Sungai Tuaran, Sungai Tempasuk dan Sungai Sikuati dijangka mencatatkan peningkatan paras air jika hujan berterusan dalam tempoh dua hari ini.
PRABN menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat dan berpindah ke kawasan selamat sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.
“Semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko diminta sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa dan tidak mengambil risiko melalui kawasan dinaiki air,” menurut kenyataan tersebut.
Agensi keselamatan negeri termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my atau aplikasi mudah alih MyPublicInfoBanjir bagi memantau situasi semasa di kawasan masing-masing. SABAH MEDIA






