Read Time:1 Minute, 11 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal komited memastikan setiap rakyat Sabah, tanpa mengira kaum dan latarbelakang, menikmati manfaat pembangunan secara sama rata.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan seimbang di seluruh Sabah, sama ada di kawasan bandar, pinggir bandar mahupun luar bandar.
“Kita tidak mahu sesiapa dipinggirkan, tidak kira kaum atau latar belakang. Semua berhak menikmati pembangunan dan kemajuan negeri ini.
“Kepimpinan negeri hari ini serius mahu melihat kemajuan berlaku seiring di setiap kawasan. Tiada siapa harus tertinggal di belakang. Inilah semangat sebenar Sabah Maju Jaya,” katanya.
Beliau demikian ketika berucap dalam majlis mesra bersama masyarakat Cina di Gudang 4 di sini, semalam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Presiden dan Naib Presiden PHRS, selain tokoh masyarakat termasuk Datuk Lim Yin Kat, yang disifatkan Liew sebagai antara tulang belakang kejayaan penganjuran program tersebut.
Yun Fah menegaskan bahawa agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar slogan, sebaliknya satu gerakan menyeluruh untuk memastikan setiap komuniti mendapat perhatian dan peluang dalam pembangunan negeri.
“Kekuatan kita ialah perpaduan. Bila rakyat bersatu hati, tiada halangan yang tidak mampu kita atasi,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada ratusan hadirin.
Program berkenaan mencerminkan semangat perpaduan dan keyakinan baharu rakyat Tawau untuk terus bersama kepimpinan GRS dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat.





