Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

MaHBAM UMS jadi tumpuan dunia

Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU : Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM) di bawah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila telah menerima lawatan delegasi daripada Akademi Sains Rusia (RAS), baru-baru ini.

Delegasi RAS tersebut diketuai oleh Presiden Far Estern Branch (FEB) RAS, Profesor Dr. Yuri Kulchin, bersama Naib Presiden FEB, RAS, Profesor Dr. Pavel Krestov dan Ketua Jabatan RAS, Marina Shtets.

Kunjungan ke MaHBAM di Kg. Melangkap Baru, Kota Belud itu bertujuan meninjau secara langsung model Makmal Hidup Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti (Community-Based Disaster Risk Management, CBDRM) yang dibangunkan oleh NDRC UMS.

Lawatan itu juga merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja rasmi RAS ke NDRC UMS yang turut merangkumi lawatan ke kawasan bekas bencana di Taman Negara Kinabalu dan Sub Stesen Mesilou.

Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata lawatan itu bukan sahaja memperlihatkan minat antarabangsa terhadap inovasi pengurusan bencana berasaskan komuniti di Sabah, tetapi juga memperkukuh peranan UMS sebagai pusat rujukan serantau dalam bidang penyelidikan bencana dan perubahan iklim.

“MaHBAM berfungsi sebagai tapak rujukan lapangan bagi pengurusan bencana, kesiapsiagaan komuniti dan inovasi teknologi amaran awal hasil kerjasama antara NDRC, komuniti setempat, dan agensi penyelidikan tempatan serta antarabangsa.

“Makmal Hidup seperti MaHBAM membuktikan bahawa pendekatan sains, teknologi dan komuniti boleh digabungkan bagi membentuk sistem pengurusan bencana yang lebih berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

Tambah beliau, NDRC sentiasa komited memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui perkongsian kepakaran dan penyelidikan rentas disiplin yang menyokong aspirasi UMS ke arah universiti lestari dan berimpak global.

“Melalui kolaborasi seperti ini, kita dapat mempertingkatkan keupayaan saintifik dan teknologi dalam menangani cabaran bencana serta adaptasi perubahan iklim, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di peringkat global,” ujarnya.

Delegasi RAS turut dibawa melawat Bilik Operasi MaHBAM dan sensor amaran banjir yang dibangunkan oleh Makmal Hidup Impact Sense: Laboratory for Physics-Driven Sensing and Social Innovation, UMS dengan kerjasama komuniti Kg. Melangkap Baru di Polumpung Melangkap View Camp Site.

Selain lawatan lapangan, perbincangan rasmi untuk memeterai kolaborasi penyelidikan dalam bidang pengurusan bencana dan perubahan iklim turut diadakan sempena kunjungan hormat ke Pejabat Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor. 

Kunjungan tersebut turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Profesor Ts. Dr. Rodeano Roslee serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FST UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Chee Fuei Pien.

Lawatan berimpak tinggi itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha NDRC UMS dalam memperkukuh jaringan penyelidikan global berkaitan pengurusan risiko bencana, kelestarian alam sekitar dan adaptasi perubahan iklim, seiring aspirasi UMS sebagai universiti lestari dan berimpak global.

Sesi lawatan diakhiri dengan sesi perbincangan penyelidikan bersama Ketua Kluster Penyelidikan NDRC UMS, diikuti lawatan ke Makmal Sistem Pemantauan Gempa Bumi (SEISCOMP3) di Makmal NDRC.

Penerangan mengenai fungsi teknikal SEISCOMP3 telah disampaikan oleh Pegawai Peyelidik NDRC, Eldawaty Madran. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

LEAVE A RESPONSE