Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Dari rumah bocor ke kediaman baharu, ibu tunggal syukur terima rumah SMJ

Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD: Selepas hampir dua dekad tinggal dalam rumah usang dan daif, seorang ibu tunggal akhirnya mampu menarik nafas lega apabila kini menetap di kediaman baharu yang jauh lebih selesa di bawah inisiatif Program Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ).

Penerima rumah SMJ, Amnah Jatin, 38, dari Kampung Tambilaung yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan berkata, pengalaman lalu tinggal dalam rumah lama yang bocor dan rapuh kini hanya tinggal kenangan.

“Dulu, setiap kali hujan, saya terpaksa letak besen dan baldi di sana sini untuk tadah air yang menitis dari bumbung bocor.

Amnah Jatin

“Bila panas pula, atap zink tak dapat menahan haba. Tapi sekarang, saya dan anak-anak tidur lena tanpa risau,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini.

Amnah berkata, keadaan rumah lama bukan sahaja tidak selamat malah tidak lagi sesuai didiami.

“Bumbung bocor, lantai berlubang, dan dinding ‘plywood’ usang. Bila anak sulung saya pulang bersama suaminya, kami terpaksa gantung kain sebagai penghadang untuk dijadikan bilik.

“Tapi sekarang semuanya berubah, rumah SMJ ini memberi kami maruah dan keselesaan,” katanya.

Rumah lama milik Amnah

Sementara itu, Amnah yang menyara dua anak dengan pendapatan sekitar RM300 sebulan hasil menjual produk tani kampung, mengakui bantuan tersebut merupakan rahmat besar dalam hidupnya.

“Saya amat bersyukur, tapi kalau boleh saya cadangkan kerajaan menambahbaik program ini dengan turut membantu kos pemasangan tiang elektrik dan sambungan paip air ke rumah. Itu antara cabaran kami yang masih perlu diurus sendiri,” katanya.

Berdasarkan rekod sebanyak 40 buah keluarga di bawah DUN Pintasan yang tersenarai dalam sistem E-Kasih telah menerima manfaat rumah baharu SMJ bagi tahun 2025.

Semua rumah tersebut telah siap dibina dan diserahkan sepenuhnya kepada penerima.

Program Rumah SMJ merupakan salah satu inisiatif utama kerajaan negeri Sabah dalam memastikan rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman selesa, selamat dan bermaruah.

Ia juga seiring dengan semangat Sabah Maju Jaya yang mengutamakan kesejahteraan rakyat di seluruh pelosok negeri. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE