SANDAKAN : Masalah kebocoran paip air di persimpangan Bandar Prima di sini telah berjaya diselesaikan dengan kerja-kerja penggantian paip baharu yang dilaksanakan Jabatan Air Sandakan (JANS).
Ahli Majlis Perbandaran Sandakan dan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Robert Chong Thien Ming, yang meninjau lokasi berkenaan, memaklumkan kerja-kerja pembaikan tersebut telah siap sepenuhnya dalam tempoh seminggu.
“Pasukan berjaya menyambung paip baharu yang menggantikan paip lama yang bocor. Kini, tiada lagi tanda-tanda air melimpah di persimpangan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Robert, yang memantau projek itu sejak minggu lalu, berkata beliau berpuas hati dengan tindakan kerja yang lancar.
Beliau turut memuji JANS atas langkah proaktif menggantikan keseluruhan paip yang rosak itu, berbanding melakukan pembaikan mudah di bawah tanah yang mungkin memakan masa lebih lama.
Namun, beliau menekankan pentingnya pemantauan berterusan oleh JANS ke atas rangkaian paip di kawasan sekeliling bagi mengelak kejadian serupa berulang, yang boleh mengakibatkan gangguan kepada orang ramai dan lalu lintas.






