Read Time:2 Minute, 2 Second
Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi, menyatakan kesediaannya menjadi jambatan penghubung antara Merotai dan Putrajaya bagi memastikan rakyat di kawasan itu menikmati manfaat secara langsung daripada dasar dan peruntukan kerajaan Persekutuan.
Ruji yang disebut-sebut bakal mewakili Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, menegaskan beliau sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
“Saya ingin menjadi jambatan Merotai ke Putrajaya. Peluang seperti ini bukan selalu ada, maka rakyat Merotai perlu mengambil kesempatan untuk bersama kerajaan demi pembangunan kawasan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ramah mesra bersama komuniti di Hot Spring, di sini, malam tadi. Program itu turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memastikan kemenangan calon kerajaan perpaduan di DUN Merotai bagi membolehkan pelaksanaan projek dan peruntukan pembangunan yang telah diluluskan kerajaan Persekutuan dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan di peringkat negeri.
“Yang penting bukan hanya jumlah peruntukan yang diluluskan, tetapi pelaksanaannya.
“Dengan pengalaman saya sebagai KSU di tiga kementerian dan Ketua Pengarah di satu agensi, saya yakin mampu membantu mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan oleh Perdana Menteri untuk tahun hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak tiga bulan lalu, beliau giat turun padang menyantuni masyarakat di seluruh kawasan DUN Merotai dan mendapati sambutan yang diterima amat positif.
“Alhamdulillah, semua masjid dan pasar dalam DUN Merotai sudah saya lawati. Sambutan sangat baik dan keyakinan saya semakin meningkat.
“Walaupun ada yang menganggap saya orang baharu, sebenarnya saya sudah lama turun ke lapangan termasuk ketika menjadi Pengarah Pembangunan Negeri Sabah,” katanya.
Ruji berkata, momentum sokongan di enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah dilawatinya semakin meningkat dan beliau berharap semangat itu dapat dikekalkan sehingga hari penamaan calon.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan berkenaan juga berada pada tahap terbaik dengan beberapa mesyuarat dan program dilaksanakan secara bersama.
“Setakat ini, kerjasama sangat baik dalam kalangan parti komponen kerajaan perpaduan. Kehadiran Perdana Menteri ke Merotai bulan lalu turut memberi isyarat jelas terhadap keyakinan kepimpinan pusat terhadap kawasan ini,” katanya.
Mengulas mengenai spekulasi kononnya beliau antara calon utama untuk jawatan penting di peringkat negeri, Ruji menegaskan tumpuannya kini adalah memastikan kemenangan di Merotai terlebih dahulu.
“Yang penting ketika ini ialah memastikan kerusi Merotai dimenangi dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah pada pilihan raya ke-17 ini,” katanya. – SABAH MEDIA






