Read Time:1 Minute, 25 Second
KOTA KINABALU: Sabah FC tidak mahu melepaskan peluang beraksi di laman sendiri apabila tekad meraih tiga mata penuh menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC Jean-Paul de Marigny, menegaskan persiapan pasukannya berjalan lancar dengan semua pemain utama berada dalam keadaan terbaik menjelang pertembungan berprofil tinggi itu.
“Kami mahu terus konsisten dan berdisiplin dalam struktur permainan.
“Tiada perbezaan daripada perlawanan lain, tetapi fokus kami tetap sama — memastikan prestasi dan taktikal berada di tahap terbaik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan di Likas, di sini.
Menurut De Marigny, ketiadaan masalah kecederaan atau penggantungan pemain memberi kelebihan kepada Sabah FC untuk memilih barisan terbaik bagi menguji kekuatan lawan.
“Semua pemain cergas, tiada yang digantung atau direhatkan. Ia sesuatu yang positif kerana memberi lebih banyak pilihan dari segi taktikal,” jelasnya.
Mengulas mengenai kekuatan lawan, jurulatih kelahiran Australia itu mengakui Selangor FC antara pasukan yang sentiasa konsisten dengan barisan pemain berpengalaman serta berbahaya di setiap posisi.
“Selangor pasukan berkualiti dan mereka punya banyak ancaman, tetapi kami lebih fokus kepada apa yang boleh kami kawal.
“Kami hormati mereka, sama seperti kami menghormati setiap pasukan lain,” katanya.
De Marigny turut menyeru penyokong Sang Badak untuk membanjiri Stadium Likas dan menjadi pembakar semangat buat pasukan dalam usaha mengekalkan momentum positif di gelanggang sendiri.
“Kami berada di landasan yang baik. Kehadiran penyokong memberi tenaga luar biasa kepada pemain, dan kami mahu beraksi dengan penuh kebanggaan untuk mereka,” katanya.
Aksi menentang Selangor FC dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan kini dijangka bersaing sekali lagi pada aksi pusingan pertama Separuh Akhir Piala FA pada 09 November ini sekali gus memburu kemenangan penting untuk memperkukuh kedudukan masing-masing. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC






