Read Time:1 Minute, 8 Second
Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD: Penantian lebih tiga dekad untuk memiliki rumah selesa akhirnya berakhir buat Beanti Siti, 66, apabila menerima rumah baharu di bawah inisiatif Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Kesapang.
Beanti yang sebelum ini menghuni rumah peninggalan ibunya berkata, pemberian rumah itu membawa sinar baharu dalam hidupnya dan keluarga.
“Saya dimaklumkan pada bulan Ogos lalu bahawa saya layak menerima bantuan rumah SMJ… dan kini rumah sudah siap sepenuhnya. Saya sangat bersyukur dan sedang dalam proses berpindah,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata dua anaknya kini sudah berkeluarga, manakala seorang lagi yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) masih tinggal bersamanya.

“Dengan adanya rumah baharu yang lengkap dan selesa ini, kami dapat hidup lebih bersih, teratur dan selamat. Memang sangat bersyukur.
“Setiap bulan saya hanya memperoleh pendapatan RM250 hingga RM300 sebulan sebagai tukang jahit,” katanya
Beanti turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kesungguhan menyiapkan kediaman itu dalam tempoh hanya dua bulan tanpa penangguhan.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana tidak melupakan rakyat kecil seperti saya. Saya berharap kerajaan sekarang dikekalkan demi kesejahteraan rakyat dan membantu lebih ramai yang memerlukan,” katanya.
Program Rumah SMJ merupakan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi penyediaan kediaman selamat dan selesa untuk golongan berpendapatan rendah serta golongan rentan di Sabah. – SABAH MEDIA






