Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PBS kekal bantu GRS, tidak terjejas susulan STAR, SAPP tarik diri

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Raul G

KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin mampu kekal memainkan peranan penting dalam membantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus kukuh dan dominan, kata Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai.

Joniston menegaskan, meskipun berdepan situasi sukar susulan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang menarik diri daripada gabungan itu, ianya tidak sesekali menjejaskan PBS untuk terus kekal bersama GRS.

“PBS sudah mengharungi cabaran politik yang jauh lebih sukar, inilah demokrasi namun kestabilan serta perpaduan tidak boleh diabaikan dan PBS akan terus memainkan peranan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bertemu Rakyat di Kampung Rungus Panansawa, di sini, hari ini.

Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS dan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, menekankan kekuatan PBS dalam GRS adalah hasil konsistensi kepimpinan kukuh serta pengalaman dalam menghadapi dinamik politik yang sentiasa berubah.

“Kami sudah melalui pelbagai fasa perubahan, tetapi prinsip kami tetap sama, iaitu berkhidmat dengan dedikasi dan mengutamakan rakyat”

“PBS sentiasa menjadi penyumbang dalam GRS, memastikan gabungan ini mampu memenuhi jangkaan rakyat Sabah,” tambahnya, sambil menyatakan parti itu terus memainkan peranan penting dalam memastikan GRS kekal padu, berwibawa dengan dasar realistik serta berpusatkan.

PBS, merupakan salah satu daripada enam parti komponen GRS disusuli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Sebelum ini, keanggotaan parti STARdan SAPP dalam gabungan itu tamat selepas kedua-duanya menyatakan keputusan untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Sementara itu, dalam program yang dihadiri Joniston, beliau turut melawat Kampung Balabakan bagi merasmikan pelancaran laluan pertanian baharu di kampung berkenaan.

Beliau berkata, sektor pertanian kekal sebagai antara fokus utama pelan pembangunan berterusan di Kiulu khususnya bagi mempertingkat infrastruktur dan taraf hidup penduduk.

LEAVE A RESPONSE