Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

JAKIM Sabah fokus isi 200 kekosongan guru KAFA menjelang 2026

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah akan memberi tumpuan terhadap usaha mengisi kira-kira 200 kekosongan perjawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) menjelang tahun 2026 bagi memperkukuh pelaksanaan pendidikan agama di negeri ini.

Pengarah JAKIM Sabah, Dr. Baharudin Othman, berkata langkah itu akan dilaksanakan melalui kerjasama erat dengan agensi agama negeri, termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), bagi memastikan penyampaian pendidikan agama Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh pelosok Sabah.

“Ketika ini terdapat seramai 2,400 guru KAFA di seluruh negeri, namun sekitar 200 kekosongan masih belum diisi.

“Peranan guru KAFA amat penting dalam membimbing anak-anak memahami asas agama dan membentuk sahsiah Islamiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

Dr. Baharudin berkata, pengisian kekosongan itu akan memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya dalam memperluas akses pendidikan agama Islam di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tambah beliau, kunjungan hormat berkenaan juga merupakan pengenalan rasmi beliau sebagai Pengarah JAKIM Cawangan Sabah yang baharu, selepas memulakan tugas pada 10 September lalu, menggantikan Datuk Norjeli Dais yang bersara wajib pada 9 September.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.

Turut hadir, Prof Madya Dr. Nurul Hudani Md Nawi dari Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Khairunnisa Yusof, Nor Diyana Mohamed Rais, dan Zaimatul Nadia Anuar dari JAKIM Sabah.

LEAVE A RESPONSE