Read Time:1 Minute, 12 Second
SANDAKAN: Seramai 616 warga Filipina yang merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan, pada 23 Oktober lalu.
Kesemua individu tersebut telah dihantar pulang menggunakan kapal MV Antonio 1 menuju ke Pelabuhan Bandaraya Zamboanga, Filipina, dalam program pemindahan tahanan PATI.
Mereka sebelum ini ditahan di empat depot Imigresen di seluruh Sabah, iaitu di Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu, dan Papar.
Kumpulan yang diusir itu terdiri daripada 377 lelaki, 134 perempuan serta 105 kanak-kanak dan bayi , yang berusia antara satu bulan sehingga 71 tahun.
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, pemindahan tersebut menambah bilangan keseluruhan tahanan asing yang telah dihantar pulang sejak awal tahun ini kepada 8,956 orang.
“Program ini membabitkan warga dari beberapa negara termasuk Filipina, Indonesia, Pakistan, China, Vietnam, India dan Thailand,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa semua tahanan telah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan yang sah sebelum diusir.
Sitti Saleha turut menggunakan peluang ini untuk menyeru semua majikan di Sabah, terutamanya dalam sektor perladangan, agar menyertai program pendaftaran digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Katanya, pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
“Inisiatif kerajaan negeri ini dijangka mampu mengekang isu penggunaan pelbagai dokumen dan lambakan PATI di negeri ini. Justeru, kita berharap pihak majikan dapat mengambil bahagian dalam program tersebut,” tegasnya.






