Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

60 Unit Rumah SMJ di DUN Apas Siap Hampir 90 Peratus – Nizam – Sabah News

TAWAU: Sebanyak 60 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperuntukkan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas telah siap hampir 90 peratus, manakala selebihnya kini berada di fasa akhir pembinaan, kata ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, program ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Daripada keseluruhan 60 unit rumah yang diluluskan sejak tahun 2022 hingga 2024, hampir 90 peratus telah siap. Majlis penyerahan kunci akan dilaksanakan minggu hadapan bagi rumah-rumah yang telah sedia untuk diduduki,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan sebuah Mini Dewan serbaguna di Kampung Kinabutan Bukit, semalam.

Dalam majlis tersebut, Nizam turut merasmikan kemudahan baharu iaitu Mini Dewan berasaskan konkrit yang kini menggantikan balai raya lama kampung tersebut. Bangunan serbaguna itu lengkap dengan lantai bertiles, kipas dan penghawa dingin.

“Saya mengucapkan tahniah kepada komuniti Kampung Kinabutan Bukit atas semangat kerjasama yang tinggi dalam menyokong usaha kerajaan. Kerjasama beginilah yang memudahkan pembangunan dilaksanakan,” ujar beliau.

Projek Mini Dewan ini merupakan hasil daripada Program Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) di bawah Kementerian Ekonomi yang memberi peluang kepada kampung dan NGO memohon pembinaan infrastruktur asas.

Nizam turut mengingatkan penduduk supaya memelihara kemudahan dewan tersebut dengan baik demi kepentingan bersama, dan menyifatkan ia sebagai pusat aktiviti masyarakat serta pemangkin keharmonian setempat.

Majlis turut diserikan dengan acara penyerahan tandanama bagi empat lorong kampung serta pertandingan memasak, di mana Nizam sendiri diberi peranan sebagai juri.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua yang hadir dan menjayakan program berkenaan.

“Inisiatif seperti Rumah SMJ dan IKR ini membuktikan bahawa kerajaan serius dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pembangunan bersasar dan inklusif,” katanya.

LEAVE A RESPONSE