Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

400 sertai acara berjalan ‘Walk-a-Payung’ 2025

Read Time:1 Minute, 32 Second

SANDAKAN : Seramai 400 peserta menyertai acara berjalan kaki Walk-a-Payung 2025 yang berlangsung meriah di Sandakan, sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada pesakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Acara penuh simbolik yang dianjurkan oleh Persatuan SLE Malaysia (PSLEM) – Cawangan Sabah bersama Kelab Lions Sandakan Selingan itu menarik penyertaan seramai 800 peserta berdaftar secara keseluruhan, menjadikan edisi kali ini antara yang paling mendapat sambutan sejak program itu diperkenalkan di Sandakan pada 2012.

Peserta yang berpakaian ungu  iaitu warna rasmi kesedaran lupus mula berarak dari kawasan SMK Konven St. Cecilia sambil membawa payung sebagai simbol perlindungan dan harapan, selaras dengan cabaran sebenar yang dihadapi oleh pesakit lupus yang perlu mengelak daripada terdedah kepada cahaya matahari.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, yang menyifatkan Walk-a-Payung bukan sahaja sebagai program kesedaran, tetapi satu usaha membina masyarakat yang lebih prihatin.

“Berjalan bersama di bawah payung ungu bukan sekadar simbol, ia mencerminkan realiti kehidupan harian pesakit lupus serta sokongan yang kita berikan sebagai komuniti yang prihatin dan empati,” ujar Vivian dalam ucapan perasmiannya.

Presiden PSLEM Cawangan Sabah, Geoffrey Sinn Chun Hou, turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, sukarelawan serta warga Sandakan yang hadir menyokong program ini.

“Walk-a-Payung bukan sekadar acara tahunan — ia adalah platform menyatukan masyarakat melalui kefahaman dan empati.

“Setiap payung terbuka hari ini membawa maksud yang lebih besar — ia lambang perlindungan, kasih sayang dan harapan buat semua pesakit lupus,” katanya.

Selain acara berjalan kaki, beberapa aktiviti lain turut mencuri tumpuan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma; pertandingan hiasan paying; senam zumba dan cabutan bertuah.

Walk-a-Payung mula diperkenalkan di Sandakan pada 2012 dan kembali dengan lebih gah dalam edisi 2016.

Selepas sembilan tahun, acara ini hadir semula dalam edisi 2025 dengan sambutan luar biasa — membuktikan bahawa kesedaran dan sokongan terhadap pesakit lupus terus kukuh dalam kalangan masyarakat. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE