Read Time:1 Minute, 6 Second
Oleh Raul G
TUARAN: Seramai 354 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada Op Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 bagi kawasan Tuaran membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Awang Maidin berkata, jumlah polis bertugas itu termasuk 184 polis pengiring yang akan bertugas pada hari mengundi esok, 29 November.
“Kesemua anggota polis akan ditempatkan mengikut kawasan setiap pusat mengundi bagi memastikan ketenteraman dapat dikawal sepenuhnya ,” katanya.
Noraidin ditemui pada sidang media selepas mengiring Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun yang mengadakan sesi lawatan bagi Semakan Peti Undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Seri Sulaman, Tuaran, hari ini.
Mengulas lanjut, Noraidin menjelaskan sebanyak lima pasukan Unit Tindakan Cepat (QRT) yang bersiap-siaga selama 24 jam di Tuaran.
“Empat pasukan akan ditempatkan di setiap kawasan DUN manakala satu lagi pasukan akan bersedia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.
“Pihak polis trafik juga mengenal pasti laluan yang akan mengalami kesesakan lalu lintas dan akan berada di setiap lokasi bagi memastikan perjalanan kakitangan SPR serta pengundi berjalan lancar,” ujarnya.
Difahamkan, seramai 88,656 jumlah pengundi di Tuaran yang dijangka saingan sengit tertumpu di DUN Tamparuli apabila pertembungan yang melibatkan 13 penjuru, diikuti DUN Kiulu (lapan penjuru), DUN Pantai Dalit (tujuh penjuru) dan DUN Sulaman (lima penjuru). – SABAH MEDIA






