Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

255 PATI Indonesia dihantar pulang ke negara asal

Read Time:1 Minute, 10 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Seramai 255 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, hasil pelaksanaan berterusan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program pemindahan itu melibatkan 223 lelaki, 27 wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara 9 hingga 72 tahun, yang dihantar menaiki feri khas pagi tadi.

Beliau menjelaskan, semua tahanan tersebut disabitkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk kesalahan masuk tanpa pas atau permit sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

“Setakat tahun ini sahaja, 1,751 tahanan PATI Indonesia telah dihantar pulang, menjadikan 8,328 warga asing keseluruhannya berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing melalui pelbagai operasi dan program penghantaran balik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SH Sitti Saleha menegaskan bahawa JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan pas atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah, sambil menyeru semua majikan supaya mematuhi saluran sah pengambilan pekerja asing.

“JIM Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran dan kegiatan PATI di negeri ini,” tegasnya.

Langkah penghantaran balik ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kawalan sempadan dan memastikan kedaulatan undang-undang imigresen di Sabah terus terpelihara.

LEAVE A RESPONSE