Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

13 kes Akta 852 di Sabah dibawa ke mahkamah

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak tegas terhadap 13 kes pelanggaran serius di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Sabah dengan membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes tersebut melibatkan pelbagai pelanggaran tidak boleh dikompaun termasuk aktiviti pengiklanan, pempameran serta penjualan produk merokok kepada individu bawah umur 18 tahun.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan Akta 852 dikuatkuasakan sepenuhnya selepas ia berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.

“Daripada 966 kesalahan tidak boleh dikompaun di seluruh negara, 13 kes direkodkan di Sabah, manakala 16 kes di Sarawak dan 17 kes di Labuan.

“Ini bukti jelas bahawa KKM tidak berkompromi dalam isu pelanggaran undang-undang membabitkan produk merokok, termasuk vape, terutama yang melibatkan golongan bawah umur,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan penyeliaan penguatkuasaan Akta 852 di sekitar bandar Tawau, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 998 premis diperiksa di Tawau sejak Januari lalu, dengan 944 notis kompaun dikeluarkan atas kesalahan berkaitan penjualan dan pengiklanan produk merokok.

Beliau menjelaskan, bagi kesalahan tidak boleh dikompaun, notis dikeluarkan bagi mengarahkan individu atau syarikat terbabit hadir ke mahkamah untuk ditentukan hukuman.

“Kita kini berada dalam fasa pelaksanaan menyeluruh, bukan sekadar larangan merokok tetapi turut meliputi pendaftaran, penjualan, pengiklanan dan kawalan produk.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan Akta 852 memberi fokus kepada perlindungan golongan muda daripada terdedah kepada produk tembakau dan vape, selain memastikan penjual mematuhi peraturan pelabelan serta pendaftaran produk.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai penguat kuasa dan pegawai kesihatan persekitaran yang komited menjalankan tugas di lapangan.

“Saya tahu tugas mereka bukan mudah, tetapi mereka tetap turun padang setiap hari. Kita akan terus perbaiki kelemahan dan memperkukuh pelaksanaan bagi memastikan matlamat Akta 852 tercapai,” katanya.

LEAVE A RESPONSE