Read Time:3 Minute, 15 Second
KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina Mahathir menunjukkan perubahan tingkah laku sejak dua hari sebelum ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMK Tun Mustapha.
Peguam Joan Goh dan Datuk Ram Singh memaklumkan perkara itu kepada media ketika ditanya mengenai perkembangan prosiding inkues hari ini, yang dijalankan secara tertutup kerana melibatkan saksi kanak-kanak.
“Saksi dapati terdapat perubahan tingkah laku Zara daripada kebiasaan yang beliau kenal. Kali pertama saksi menyedari perubahan tersebut ialah pada 14 Julai 2025 (dua hari sebelum kejadian) iaitu semasa sesi persekolahan. Saksi berkata Zara tidak seperti kebiasaan dan kurang berinteraksi dengan saksi.
“Pada 15 Julai 2025 itu jugalah kali terakhir saksi menegur Zara, sebelum malam kejadian iaitu antara jam 9.30 hingga 10pagi. Pada masa itu, saksi melihat Zara menaiki tangga untuk ke kelas dan saksi perasan Zara kelihatan tidak seperti kebiasaannya. Wajahnya murung, kurang ceria dan tidak banyak bercakap.
“Saksi kemudian menegur Zara dengan memanggil namanya. Zara menoleh ke arah saksi dan hanya memberikan şenyuman ringkasnya şebelum meneruskan perjalanan tanpa berkata apa-apa. Sikap tersebut amat berbeza kerana sebelum ini, setiap kali saksi menegurnya, Zara pasti akan membalas dan berbual seperti biasa,” katanya.
Joan berkata saksi juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa sepanjang perkenalan mereka, itulah kali pertama Zara tidak melayan teguran saksi.
“Selepas kejadian itu, saksi ada beberapa kali terserempak dengan Zara. Namun mereka tidak bertegur sapa dan masing-masing meneruskan urusan masing-masing. Saksi menganggap Zara mungkin sibuk, jadi saksi tidak mahu mengganggunya. Namun begitu, perubahan sikapnya pada hari tersebut jelas menunjukkan bahawa dia berada dalam keadaan yang berbeza daripada kebiasaannya,” katanya.
Joan berkata, jika sebelum ini, Zara masih mampu mengawal perasaan walaupun bersedih pada masa tersebut keadaanya jauh berbeza dan jelas menunjukkan stress yang lebih kuat.
“Perbezaan sikap itu membuatkan saksi merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana keadaan Zara tidak sama dengan personaliti Zara yang saksi kenal sebelum ini yang biasanya periang, mudah bergaul dan gemar bergurau,” katanya.
Joan berkata, saksi juga ada memaklumkan sepanjang mengenali Zara, arwah pernah beberapa kali meluahkan kata-kata berunsur negatif tentang dirinya dan keadaanya.
“Antaranya Zara pernah menyatakan bahawa dia mahu bunuh diri dalam intonasi yang seperti bermain-main. Dia selalu mengungkapkan keinginan mahu membunuh diri di hadapan saksi dan seorang kawan saksi lagi, namun mereka menganggap dia hanya bergurau “dark joke“.
“Dia pernah cakap juga dia mahu buat “barcode“ di depan saksi dan kawan saksi. Menurut pengetahuan saksi, barcode bermaksud ingin menoreh tangan tetapi tidak pernah nampak barcode di tangan Zara,” katanya sambil menambah arwah tidak pernah bercerita secara terperinci mengenai latar belakang keluarganya dan akan menukar topik perbualan.
Joan berkata, walaupun saksi ada berjumpa dan bercakap dengan Zara pada 16 Julai 2025 di hadapan tandas aras 3 asrama, dia hanya memaklumkan perkara itu kepada ibunya selepas dua atau tiga bulan kejadian tersebut.
“Saksi telah meminta ibunya untuk tidak menceritakan kepada sesiapa apa yang berlaku kerana saksi rasa takut dan belum bersedia untuk bercerita. Selepas menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya, saksi telah menelefon seorang guru SMKA Tun Datu Mustapha iaitu Ustazah Shukriah Fauzi sebelum memberikan keterangan kepada pihak polis,” kata Joan.
Menurut Joan, saksi berkata beliau pernah menceritakan kejadian tersebut semasa satu perjumpaan beramai-ramai bersama pelajar di Asrama Blok B.
Dalam pertemuan itu, seorang anggota polis wanita telah menyoal saksi mengenai apa yang diketahuinya. Saksi memaklumkan bahawa beliau telah menceritakan segala yang berlaku kepada anggota polis berkenaan.
Bagaimanapun, saksi mendakwa anggota polis wanita tersebut kemudian meninggikan suara dan mempersoalkan mengapa beliau pergi ke Asrama Blok A pada waktu tengah malam, menyebabkan saksi menangis.
“Saksi berkata seorang polis lelaki kemudian masuk campur dan beliau menceritakan kejadian tersebut kepadanya. Walaubagaimanapun anggota polis tersebut tidak merekod apa-apa. Saksi juga tidak dapat camkan lagi kedua anggota polis tersebut,” katanya.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia pada 16 Julai 2025 kira-kira jam 3 pagi di Hospital Queen Elizabeth.
Prosiding inkues bersambung esok.






