Read Time:1 Minute, 23 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang saksi menyifatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebagai pelajar yang ceria dan sentiasa menghormati pelajar senior di sekolahnya.
Peguam ibu Zara, Rizwandean M Borhan berkata saksi kanak-kanak ke-17 yang merupakan rakan sebilik Zara tidak pernah melihat Zara sedih dan murung.
Menurut saksi, Zara juga mempunyai cita-cita untuk menjadi BADAR (pengawas surau). Pelajar yang ingin menjadi BADAR mestilah berdisiplin dan hafal surah-surah al-Quran. Zara turut mengidolakan seorang pelajar senior yang merupakan seorang BADAR.
“Saksi berkata dia hanya mengenali Zara sebagai kawan biasa, bukan secara rapat. Sepanjang ingatan saksi, dia tidak pernah melihat Zara mempunyai sebarang konflik dengan pelajar lain di sekolah.
“Saksi tidak pernah melihat Zara menjerit atau menangis, mahupun dimarahi atau diganggu oleh sesiapa selain daripada malam 15 Julai,” katanya dalam sidang media.
Mengenai kejadian pada 15 Julai, saksi memaklumkan kepada Mahkamah Koroner kira-kira jam 9 malam, selepas kelas ulang kaji, dia dan beberapa pelajar lain kembali ke asrama.
“Kemudian saksi turun mencuci pakaian di tandas sebelum masuk ke bilik pada kira-kira jam 10 malam.
“Sebelum saksi masuk tidur, saksi nampak Zara berada dalam bilik asrama dan dia sedang duduk di atas lantai hadapan almarinya. Dia tidak perasan apa yang Zara lakukan, dia nampak Zara duduk di situ,” katanya.
Saksi turut memaklumkan bahawa Zara pernah membenarkannya membaca diari berwarna hijau gelap milik arwah, yang mengandungi luahan perasaan tentang seorang kawannya.
Saksi mengesahkan mengetahui terdapat beberapa pelajar pernah membuat ‘barcode’ di sekolah.
Sebelum ini, seorang saksi pernah memberi keterangan tentang kewujudan amalan yang dikenali sebagai ‘barcode’ dalam kalangan pelajar, iaitu perbuatan menoreh lengan menggunakan pisau pemotong (cutter) sehingga meninggalkan kesan luka.
Prosiding inkues bersambung esok.