Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Zara dimarahi, suara senior didengari sekitar blok asrama – Saksi

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dimarahi oleh beberapa pelajar senior kerana dituduh mencuri.

Menurut pasukan guaman ibu Zara, saksi ke-60 itu menyaksikan sendiri kejadian tersebut.

“Pada malam 15 Julai 2025, saksi berada di katilnya dan sedang berbual bersama rakan lain. Kedudukan katil saksi adalah di bahagian atas berhampiran tingkap.

“Saksi menyatakan bahawa beliau melihat arwah Zara dimarahi oleh beberapa pelajar senior berhubung tuduhan mencuri dompet dan tuduhan mengambil pin Jalur Gemilang milik seorang pelajar senior.

“Saksi memaklumkan bahawa pelajar senior berkenaan memarahi arwah Zara, dan saksi mendengar kata-kata makian, termasuk perkataan kesat, dilontarkan terhadap arwah oleh seorang pelajar senior.

“Saksi menyatakan bahawa suara pelajar senior tersebut adalah sangat kuat dan boleh didengari di kawasan sekitar blok asrama,” kata pasukan guaman dalam kenyataan media mereka berhubung inkues Zara.

Mereka berkata saksi turut memaklumkan bahawa Zara merupakan seorang yang baik dan suka menolong orang lain.

Saksi berkata beliau mengenali arwah Zara kerana arwah sering menegurnya, walaupun mereka jarang berbual secara rapat.

“Menurut saksi, arwah Zara seorang yang ceria, baik, suka menolong orang lain, mudah bertegur sapa, dan menghormati pelajar senior dengan sikap tunduk.

“Saksi turut menyatakan bahawa arwah sering membantu rakan yang kekurangan duit dan pernah menambah duit saksi ketika saksi berada dalam kesusahan,” menurut kenyataan itu.

Peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara.

LEAVE A RESPONSE