Read Time:1 Minute, 52 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang saksi memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sering diejek dan mengalami ‘body shaming’.
Saksi kanak-kanak ke-24 turut mendedahkan bahawa Zara pernah memberitahu kepadanya bahawa dia kerap diejek berhubung perangai dan fizikalnya, malah nama bapanya turut dijadikan bahan ejekan oleh pelajar asrama.
Sepanjang berkawan dan tinggal di asrama yang sama dengan Zara, saksi berkata dia sendiri ada melihat Zara diejek dan dipulau oleh pelajar lain.
Perkara ini dikongsikan oleh peguam Joan Goh dalam satu kenyataan berhubung perkembangan pendengaran inkues kematian Zara.
“Saksi juga pernah dengar hampir setiap hari Zara diejek dan body shaming tentang bentuk badan Zara oleh pelajar tingkatan 1, tapi saksi tidak tahu individu berkenaan dengan berkata “Gemuk la ko nih”. Zara hanya berkata “Bah iya lah” sambil ketawa.
“Saksi juga pernah nampak pelajar lelaki satu kelas dengan Zara yang mengejek dengan menjerit-jerit memanggil Zara dengan panggilan “Anak Mahadir, anak Mahadir”. Ini berlaku setiap hari.
“Zara tidak pernah marah dia diperlakukan sebegitu tetapi Saksi nampak dia akan tulis dan luahkan apa yang dia rasa di dalam buku diari dia. Saksi tidak tahu siapa lagi yang selalu mengejek dan buat body shaming terhadap Zara selain yang telah saksi nyatakan sebelum ini,” kata Joan.
Menurut Joan, sepanjang saksi mengenali Zara Qairina, saksi mengatakan Zara merupakan seorang yang ceria dan ‘happy’.
“Dia tidak pernah menunjukkan yang dia dalam tekanan atau pun dalam ‘stress’. Zara selalu bercerita kepada Saksi dia pernah kena pulau oleh beberapa orang kawan sekolah yang merupakan pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5, namun dia (Zara) tidak kisah dan tidak peduli tentang semua ejek kawan-kawan tersebut,” tambahnya.
Menurut Joan, saksi juga ada memberi keterangan mengenai satu kejadian yang berlaku sekitar bulan Mac 2025. Saksi memberitahu bahawa ketika mengajak Zara tidur di dormnya, mereka berbual tentang zaman sekolah rendah.
Zara memberitahu saksi bahawa dia pernah menoreh tangannya sendiri. Saksi pada mulanya tidak percaya, namun Zara kemudian menunjukkan parut di tangannya, dan saksi melihat terdapat dua hingga tiga kesan torehan lama.
“Saksi tidak bertanya kenapa Zara buat begitu. Cuma Zara ada beritahu masa dia di sekolah rendah dia stress sebab kena pulau. Dia ada cakap, kalau dia buat lagi macam mana. Kemudian saksi nasihatkan supaya jangan buat lagi,” kata Joan.






