Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Yayasan Sabah lanjut Program Rebat Madani sehingga 31 Disember ini

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) mengumumkan pelanjutan Program Rebat Madani sebanyak 30 peratus kepada para peminjam pinjaman pengajian sehingga 31 Disember ini.

Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, pelanjutan itu berikutan sambutan luar biasa sejak dilancarkan pada April lalu.

Katanya, pelanjutan itu memberi peluang kepada lebih ramai peminjam untuk menikmati rebat khas dengan syarat mereka membuat pembayaran penuh secara sekaligus dalam tempoh tawaran tersebut.

Menurutnya, program itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan peminjam, malah mempercepatkan pusingan dana pendidikan Yayasan Sabah.

“Melalui inisiatif ini, hanya pembayaran penuh secara sekaligus akan melayakkan peminjam menikmati rebat 30 peratus. Pembayaran separa atau berperingkat tidak termasuk dalam tawaran ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sejak program ini diperkenalkan pada 1 April 2025, seramai 230 peminjam telah menyertai program tersebut dengan jumlah rebat keseluruhan sebanyak RM818,815.01, hasil pembayaran penuh bernilai RM2,024,437.49.

Datuk Ghulamhaidar

Menurut Gulamhaidar, pencapaian ini membuktikan keprihatinan KYS terhadap kumpulan sasar dalam membantu mereka menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman, sejajar dengan matlamat Yayasan Sabah untuk memperkukuh pembangunan pendidikan negeri.

“Kami menyeru lebih ramai peminjam yang berkemampuan untuk mengambil peluang ini, bukan sahaja menikmati rebat khas, tetapi turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah menarik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan peminjam yang masih belum memulakan atau telah berhenti membayar pinjaman agar menunaikan tanggungjawab mereka.

“Pembayaran balik pinjaman ini penting untuk memastikan kelestarian dana pendidikan Yayasan Sabah supaya generasi baharu juga dapat menikmati peluang pengajian tinggi pada masa depan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Rebat Madani, orang ramai boleh melayari Facebook rasmi KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, menghubungi talian 011-33181088, atau menghantar emel ke [email protected]. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE