Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Warga asing dipenjara tujuh tahun pecah masuk restoran dan curi ikan kerapu, lobster

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang warga asing yang memecah masuk sebuah restoran dan mencuri 15 ekor ikan kerapu serta lima ekor lobster dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Lajah Musa Habibullah, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, telah melakukan pecah kedai dengan memasuki ke dalam kedai tersebut bagi maksud melakukan kesalahan mencuri ikan kerapu dan lobster milik seorang lelaki.

Kesalahan itu dilakukan pada 24 Feb lalu jam lebih kurang 5 pagi, bertempat The House Crab Restaurant, Jalan Gaya, Lorong 1, Jalan Haji Saman, dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 24 Februari lalu kira-kira jam 8.58 pagi, pengadu yang juga pengurus operasi The House Crab Restaurant telah dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa restoran berkenaan telah dipecah masuk.

Pengadu kemudian pergi ke restoran itu dan mendapati terdapat kesan umpil pada pintu.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 15 ekor ikan kerapu dan lima ekor lobster telah hilang dicuri.

Pada hari yang sama kira-kira jam 11.30 malam, sepasukan anggota dari Balai Polis Kota Kinabalu menahan tertuduh di Pasar Safma, Kota Kinabalu, kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Terdahulu semasa prosiding, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dimainkan di mahkamah, dan tertuduh mengakui bahawa individu dalam rakaman tersebut adalah dirinya.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dan juga meminta tempoh penjara dikira dari tarikh tangkap, dengan alasan sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir pula memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira keseriusan dan kekerapan kes seumpama itu, selain kerugian dianggarkan sekitar RM5,000 yang ditanggung pengadu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap, serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

LEAVE A RESPONSE