Read Time:2 Minute, 15 Second
Oleh Florieta Diet
TENOM: Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap melipatgandakan usaha turun padang dengan membawa mesej pembangunan, kebajikan dan kestabilan ekonomi bagi menarik kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Wanitanya, Noormah Gappar, berkata walaupun kerusi DUN Melalap sebelum ini disandang oleh pihak pembangkang, jentera wanita Gagasan Rakyat terus giat menggerakkan pelbagai aktiviti mendekati masyarakat termasuk program Ziarah Kasih, pemberian sumbangan serta aktiviti kebajikan tidak bermusim di seluruh kawasan DUN tersebut.
“Dari awal lagi kami sudah bergerak mendekati rakyat di kampung-kampung. Walaupun nampak kecil, tapi bagi kami itulah usaha terbaik kami untuk memastikan jentera wanita sentiasa aktif,” katanya ketika dihubungi Sabah Media baru-baru ini.
Beliau berkata, strategi kempen wanita kali ini akan memberi tumpuan kepada usaha memperjelas kepada rakyat tentang sumbangan dan dasar-dasar kerajaan yang telah memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat luar bandar.
“Kami mahu penyampaian mesej lebih jelas – apa yang kerajaan bagi kepada rakyat, itu yang mesti disampaikan dengan berkesan. Calon yang diketengahkan juga mestilah dikenali dan disukai rakyat berdasarkan kerja yang telah dilakukan, bukan hanya menjelang pilihan raya,” katanya.
Mengulas mengenai pengundi muda yang kini dibenarkan mengundi seawal usia 18 tahun, Noormah yakin golongan belia akan menjadi penentu penting dalam PRN kali ini.
“Anak muda sekarang berfikiran lebih terbuka dan mahu pemimpin yang mereka boleh dekati serta berbincang. Mereka mahu lihat masa depan mereka terjamin – ada peluang pekerjaan, kemajuan dan kestabilan ekonomi,” katanya.
Katanya, kawasan Melalap kini mempunyai kira-kira 8,000 pengundi berdaftar, termasuk golongan belia dan masyarakat Tionghoa, dengan sokongan yang dilihat semakin meningkat kepada parti kerajaan.
“Mengenai khabar bahawa kerusi tersebut dijangka ditandingi anak kepada penyandang terdahulu, beliau berkata bahawa setiap individu berhak bertanding dan rakyat akan menilai berdasarkan kemampuan dan kerja calon, bukan semata-mata faktor keluarga.
“Bagi saya siapa pun tidak masalah, asalkan dia mampu jadi pemimpin. Setiap calon ada aura dan cara tersendiri, tapi akhirnya rakyat yang menilai,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata kempen di Melalap berjalan secara harmoni tanpa sebarang ketegangan antara parti-parti.
“Setakat ini, semua parti saling menghormati. Saya sendiri boleh duduk semeja dan berbual dengan kawan-kawan daripada parti lain. Kita berkempen secara positif sebab selepas pilihan raya kita tetap akan jumpa mereka juga,” ujarnya.
Noormah turut memuji semangat kerjasama erat antara sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis dalam Gagasan Rakyat yang masing-masing memainkan peranan tersendiri menjelang pilihan raya.
“Kami tidak menunggu arahan, setiap kumpulan tahu peranan masing-masing. Semua bergerak dengan cara tersusun, sebab masa sekarang singkat dan kerja banyak perlu dilakukan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Datuk Jamawi Jaafar jika beliau dipilih sebagai calon.
Beliau aktif turun padang sejak sekian lama akan terus mendapat kepercayaan rakyat Melalap.