Read Time:1 Minute, 1 Second
SANDAKAN: Pusat khidmat Pejabat Parlimen Sandakan akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Air Sandakan bagi menangani situasi gangguan bekalan air di daerah ini yang bermula sejak semalam.
Ia susulan kerja kecemasan membaiki
paip utama yang pecah di kawasan Jalan Taman Nasalim dan Jalan Taman Sejati Utama yang dilaksanakan Jabatan Air menyebabkan penduduk di sebahagian besar mengalami gangguan bekalan bermula Khamis lalu.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata beliau difahamkan
kerja-kerja pembaikan paip berdiameter 1200 milimeter itu dijadualkan bermula semalam dan dijangka siap hari ini.
“Kemajuan kerja masih bergantung kepada keadaan cuaca, tahap kerosakan serta kesukaran membaiki di lokasi,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Jabatan Air Sandakan semalam.
Vivian berkata, sepanjang tempoh pembaikan, kapasiti pengeluaran air di Loji Rawatan Air Segaliud akan berkurangan sebanyak 40 peratus menjadikan jumlah pengeluaran harian turun daripada 130 juta liter kepada kira-kira 78 juta liter.
“Kesan daripada itu, beberapa kawasan akan mengalami tekanan air rendah, catuan atau tiada air buat sementara waktu.
“Saya memahami bahawa kehidupan harian penduduk akan terjejas dalam tempoh ini, namun kerja-kerja ini penting bagi memastikan kestabilan sistem bekalan air dalam jangka panjang,” katanya.
Vivian juga memberi jaminan pihaknya akan terus memantau perkembangan kerja pembaikan dan bekerjasama dengan Jabatan Air bagi mempercepatkan usaha memulihkan bekalan air.






