Read Time:2 Minute, 21 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Para vendor menyambut baik penganjuran Vendor Day 2025 oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) yang disifatkan sebagai platform penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara syarikat tempatan dan luar Sabah, selain membuka peluang baharu dalam rantaian bekalan tenaga di negeri ini.
Program selama dua hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu merupakan edisi keempat sejak mula diperkenalkan pada 2011 dan akan diteruskan setiap dua tahun sekali selepas ini.
Pengarah Urusan Lagenda, Datuk Tan Pek Chian, berkata penganjuran Vendor Day bukan sahaja membuka peluang niaga, tetapi turut memberi inspirasi kepada usahawan tempatan untuk terus berkembang.
“Saya sendiri pernah memandu lori sebelum menjadi vendor utama dalam industri ini. Hari ini, Lagenda mempunyai tujuh kilang di seluruh Sabah dan menguruskan kebanyakan lori industri di negeri ini,” katanya.
“Acara seperti ini sangat baik kerana kami dapat berinteraksi dengan pelbagai penyedia perkhidmatan dan kontraktor. Kami juga mahu membuktikan bahawa vendor tempatan mampu bersaing serta menawarkan perkhidmatan setanding dengan syarikat dari Semenanjung,” katanya lagi.
Beliau turut berharap agar syarikat-syarikat tempatan terus diberi peluang untuk mengembangkan operasi bukan sahaja di Sabah, malah ke Semenanjung dan peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi Federal Power Sdn. Bhd., Datuk Seri NW Hisham Abdul Wahab, menyifatkan program anjuran Sabah Electricity itu sebagai satu inisiatif inklusif yang memberi peluang sama rata kepada semua vendor, termasuk dari Semenanjung.
“Program ini memberi ruang kepada vendor Bumiputera mengetengahkan produk masing-masing dan berpotensi menjalin kerjasama dengan vendor tempatan di Sabah. Saya harap hubungan ini dapat memperkukuh jaringan antara Semenanjung dan Sabah maju Sabah, maju juga Semenanjung,” katanya.
Sementara itu, Pengarah merangkap Ketua Pegawai Operasi JWA Design & Build Sdn. Bhd, Annie Wong, menyifatkan Vendor Day sebagai wadah penting bagi memperkenalkan potensi syarikat tempatan serta membina kepercayaan pelanggan.
“Acara seperti ini membuka peluang kepada masyarakat umum untuk mengenali syarikat-syarikat tempatan dan memahami perkhidmatan kami. Pada masa sama, ia membantu kami meluaskan rangkaian serta menjana peluang perniagaan baharu,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi bahawa produk mereka mendapat sambutan baik sepanjang pameran, dengan ramai pelawat tertarik kepada panel dinding dan pelan artifisial yang mudah dipasang serta sesuai untuk kediaman dan premis komersial.
Bagi Ketua Komersial dan Teknologi Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd., Ts. Zuhrizad Zulkifli, platform seperti Vendor Day memberi peluang kepada syarikatnya memperkenalkan produk dan perkhidmatan kabel kepada pasaran Sabah.
“Kami membekalkan kabel voltan rendah, sederhana dan tinggi ke seluruh Malaysia. Acara ini membolehkan kami memperluas perniagaan ke Sabah bukan sekadar produk, tetapi juga perkhidmatan penyelenggaraan dan pengukuhan sistem bekalan elektrik,” jelasnya.
“Kami berharap dapat menjadi rakan strategik kepada Sabah Electricity dalam memperkukuh sistem tenaga, termasuk projek Southern Link dan penggantian kabel lama di kawasan bandar serta luar bandar,” katanya.
Vendor Day 2025 anjuran Sabah Electricity menjadi landasan penting bagi menghubungkan penggiat industri tenaga dan pembekal tempatan dalam usaha bersama meningkatkan keupayaan serta kecekapan sektor tenaga di Sabah.






