Read Time:1 Minute, 1 Second
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata Kerajaan negeri kekal yakin bahawa perjuangan menuntut hak perlembagaan negeri yang dijalankan oleh semua pihak tidak akan sia-sia.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Perlembagaan Sabah berhubung Pemberian Khas 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan
“Di kesempatan ini, bagi pihak Kerajaan Sabah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabah Law Society (SLS).
“Keputusan ini merupakan satu pencapaian penting yang menzahirkan keberhasilan usaha gigih, berterusan dan konsisten Kerajaan Sabah dalam memperjuangkan serta mempertahankan hak-hak Sabah, di samping kerjasama konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri di sini.
Masidi, yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri II, berkata mesyuarat Pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas telah diadakan pada 17 November lalu.
“Kerajaan Sabah yakin bahawa perjuangan yang telah digembleng oleh semua pihak tidak akan sia-sia dan tuntutan hak ini akan menghasilkan impak positif yang signifikan kepada seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Sebelu mini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memberi jaminan bahawa satu mesyuarat susulan akan diadakan pada pertengahan bulan depan bagi membincangkan pembayaran hasil negeri yang berhak diterima Sabah sebanyak 40 peratus.






