Read Time:1 Minute, 48 Second
KOTA KINABALU : Usaha berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh sektor pendidikan terus membuahkan hasil apabila prestasi pelajar di negeri ini menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, sejak memegang jawatan itu, pelbagai bantuan dan inisiatif telah disalurkan oleh kerajaan negeri menerusi dua kementerian utama, termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI).
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa memberikan perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan pendidikan negeri Sabah di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.
Majlis disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Raisin berkata, sebanyak 16 inisiatif pendidikan telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri meliputi penyelenggaraan sekolah, bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sokongan kepada murid berkeperluan, serta pembayaran yuran MUET untuk pelajar Tingkatan Enam yang melibatkan kira-kira 6,500 pelajar di seluruh Sabah.
Secara keseluruhan katanya, JPNS telah menerima lebih RM22 juta dalam bentuk bantuan dan semua itu disalurkan semula bagi meningkatkan kemenjadian murid.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar Sabah yang kini berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa.
“Ini selaras dengan landskap baharu pendidikan Sabah yang memberi penumpuan kepada pembangunan sahsiah, akademik dan potensi pelajar secara menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil sokongan padu semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ibu bapa, serta kerajaan negeri yang turut memainkan peranan aktif melalui Jabatan Pendidikan Sabah.
“Insya-Allah, kami di Jabatan Pendidikan Sabah akan memanfaatkan sebaik-baiknya semua bantuan ini untuk memperkukuh prestasi pelajar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pencapaian SPM di Sabah meningkat ketara dengan 10 daripada 24 daerah kini mencatatkan Gred Purata Daerah (GPD) di bawah 5.00, satu peningkatan signifikan dalam sejarah pendidikan negeri ini.
“Kejayaan ini adalah bukti komitmen bersepadu antara kerajaan, sekolah, PIBG dan ibu bapa dalam memastikan anak-anak Sabah terus berjaya,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan pendidikan di Sabah kekal inklusif, berkualiti dan seimbang antara bandar serta luar bandar. – SABAH MEDIA