Read Time:1 Minute, 12 Second
TAMBUNAN : Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi calon di Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan akan dipindahkan sementara ke KAFA Maahad Al-Kautsar, Tambunan, berikutan insiden kebakaran yang berlaku di sekolah berkenaan pada Ahad.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, keputusan pemindahan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan keselesaan calon UPKK yang dijadualkan menduduki peperiksaan pada 17 hingga 20 November 2025.
“Langkah ini adalah sementara dan bertujuan menjamin kelancaran perjalanan peperiksaan serta memastikan calon-calon dapat menduduki UPKK dalam suasana yang teratur dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kebakaran yang berlaku pada Ahad sekitar jam 5 petang tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.
Katanya, pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, manakala laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
SAN Tambunan mempunyai seramai 179 murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6, serta 11 orang tenaga pengajar, dan turut berperanan sebagai pusat peperiksaan UPKK di daerah tersebut.
Dalam pada itu,Sirajuddin berkata, JAKIM turut merakamkan penghargaan kepada JHEAINS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak yang bertindak pantas mengawal keadaan serta membantu mengurus situasi dengan penuh tanggungjawab.
“JAKIM menzahirkan rasa simpati kepada warga SAN Tambunan atas musibah ini dan berdoa agar urusan pemulihan dipermudahkan serta peperiksaan UPKK kelak berjalan lancar dan diberkati Allah SWT,” katanya. – SABAH MEDIA