Read Time:2 Minute, 34 Second
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) menandatangani Surat Niat (LoI) baru-baru ini bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan akademik, latihan profesional dan penyelidikan dalam bidang ukur, kejuruteraan serta alam bina.
LoI tersebut ditandatangani bersama oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dan Presiden RISM, Sr Wan Ainon Zuraiha Wan Abd Khalid semasa 9th Sabah International Surveyors Congress (9SISC) anjuran RISM Cawangan Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UMS Datuk Aliasgar Basri, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Sr Lifred Wong, Pengerusi RISM Cawangan Sabah Sr Ts. Allen Leslie Chin, Timbalan Pengerusi RISM Cawangan Sabah merangkap Pengerusi Penganjur 9SISC Sr Melissa Felix Lee, Mantan Pengerusi RISM Cawangan Sabah Sr Robert Tseu, Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS Prof Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser, serta Penyelaras Program Alam Bina UMS Prof. Ar. Nurakmal Goh.
Bercakap dalam ucapan, Kasim dan Allen masing-masing menzahirkan penghargaan atas inisiatif penting yang mengukuhkan hubungan antara UMS dan RISM, sebagai satu kerjasama yang mempereratkan hubungan antara akademia dan profesionalisme, selaras dengan visi melahirkan graduan UMS yang profesional dan kompeten bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.
“Kerjasama ini mencerminkan aspirasi bersama untuk menyokong perkembangan Sabah dan negara melalui pendidikan, inovasi dan penglibatan industri,” kata Kasim.
Beliau berkata, kerjasama itu merangkumi penganjuran seminar bersama, bengkel, syarahan jemputan, pembangunan kurikulum yang relevan dengan industri, latihan industri, program penempatan staf dan pelajar, serta lawatan teknikal ke syarikat-syarikat ahli RISM, yang akan memberi pendedahan sebenar kepada pelajar UMS mengenai amalan profesional.
Menurutnya lagi, LoI itu turut menggalakkan penyelidikan dan penerbitan bersama dalam bidang seperti pengurusan pembinaan, reka bentuk lestari dan Building Information Modelling (BIM), termasuk program pembangunan kapasiti, inisiatif libat sama komuniti dan aktiviti berteraskan kelestarian, yang mencerminkan tanggungjawab bersama untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
Kasim turut menekankan bahawa kerjasama ini merangkumi perancangan aktiviti Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) untuk ahli RISM dan ahli akademik UMS, serta program mikro-kredensial yang bertujuan memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Beliau juga mengumumkan bahawa UMS akan memperkenalkan dua program ijazah baharu di bawah kluster Alam Bina, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina dengan Kepujian pada Mac 2026 dan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dengan Kepujian pada September 2026.
Katanya, pemeteraian LoI itu melambangkan kepercayaan, kolaborasi dan matlamat bersama, sambil menegaskan komitmen UMS dan RISM untuk membentuk generasi profesional baharu yang akan memacu pembangunan Sabah.
“Dengan kepakaran profesional RISM dan kekuatan akademik UMS, saya yakin Sabah boleh memposisikan dirinya sebagai hab kecemerlangan profesional dan pembangunan lestari, ‘Brain of Borneo’ yang sebenar,” jelas Kasim lagi.
Sementara itu, Allen pula menegaskan bahawa RISM komited menyokong UMS dalam meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kualiti pelajar dari aspek pembangunan profesional, dan berharap kerjasama ini akan berterusan untuk bertahun-tahun mendatang demi manfaat generasi pelajar masa depan.
“Ini merupakan permulaan yang baik dengan penglibatan pensyarah UMS sebagai ahli jawatankuasa penganjur kongres pada tahun ini,” katanya.
Kasim dan Allen turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kongres dan berharap kerjasama antara akademia dan industri akan terus berjaya pada masa hadapan.






