KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menafikan sebarang kaitan dengan entiti yang menggunakan nama ‘Suara Mahasiswa UMS’ susulan beberapa hantaran tular di media sosial.
UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, ianya termasuklah dakwaan berkaitan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut kenyataan itu, ‘Suara Mahasiswa UMS’ bukan entiti berdaftar di bawah universiti dan tidak mewakili pendirian rasmi institusi berkenaan.
“Sehubungan itu, sebarang kenyataan atau komentar yang dikemukakan oleh pihak tersebut adalah tidak mewakili suara rasmi universiti,” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.
UMS turut memandang serius tindakan pihak berkenaan yang didakwa menggunakan logo rasmi universiti tanpa kebenaran, yang disifatkan sebagai tidak sah serta berpotensi mengelirukan orang awam.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat, sekali gus mengelakkan kekeliruan.






