Read Time:1 Minute, 28 Second
KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui One Health Students Club (OHSC) dan Jabatan Pendidikan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah dijemput oleh Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu, Tuaran untuk menganjurkan aktiviti sempena Hari Tenggiling Sedunia 2026.
Bersempena sambutan tersebut, UMS menampilkan Teater Muzikal Tenggiling sebagai satu pendekatan kreatif bagi mendidik murid sekolah rendah mengenai kepentingan pemuliharaan tenggiling serta keseimbangan alam sekitar menerusi pendekatan Satu Kesihatan.
Program berkenaan melibatkan penyertaan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pahu dan SK Rangalau Baru, Tuaran.
Objektif utama program adalah untuk meningkatkan kesedaran awal tentang tenggiling, kepelbagaian biodiversiti serta tanggungjawab manusia, termasuk kanak-kanak, dalam melindungi spesies terancam.

Menurut Penasihat OHSC merangkap Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan UMS, Profeor Madya Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, program tersebut berperanan sebagai platform pendidikan interaktif yang menggabungkan elemen sains, seni dan nilai kemanusiaan dalam mendidik generasi muda.
“Pendekatan teater muzikal ini membolehkan murid memahami mesej pemuliharaan secara menyeronokkan.
“Kita mahu mereka menyedari bahawa usaha melindungi haiwan seperti tenggiling bukan sekadar soal konservasi, malah berkait rapat dengan kesihatan manusia dan kesejahteraan ekosistem.
“Inisiatif ini selaras dengan visi UMS untuk memperkukuh pendidikan kesihatan berasaskan komuniti serta menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam aspek kesihatan, pendidikan dan kelestarian biodiversiti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Yvonne Sipain berkata kerjasama dengan UMS merupakan sebahagian daripada komitmen hotel tersebut dalam menyokong usaha pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar.
“Program ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran yang berharga kepada murid, malah turut memperkukuh nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat,” ujarnya.
Hari Tenggiling Sedunia disambut setiap tahun pada Sabtu ketiga bulan Februari bagi meningkatkan kesedaran global terhadap nasib tenggiling, iaitu mamalia yang paling banyak diseludup di dunia akibat perdagangan haram.






