Read Time:1 Minute, 25 Second
KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF Sabah) melalui Pusat Bahasa dan Pembangunan Generik (CLGD) berjaya melaksanakan sebanyak 14 program khidmat masyarakat sepanjang tahun 2025, melibatkan lebih 350 pelajar di seluruh Sabah.


Pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UCSF Sabah terhadap tanggungjawab sosial serta usaha melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berdaya saing, selaras dengan matlamat pembangunan pendidikan tinggi di negeri ini.
Antara fokus utama inisiatif yang dilaksanakan termasuk bantuan kepada kanak-kanak yatim dan golongan asnaf, pemuliharaan alam sekitar, pengayaan pendidikan dan bahasa, penambahbaikan kreatif sekolah serta program kesedaran awam.

Program-program tersebut dilaksanakan di pelbagai lokasi seperti rumah kebajikan, sekolah, tadika, tapak pemuliharaan dan institusi awam, sekali gus memberi pendedahan langsung kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan dalam situasi sebenar.
Ketika ini, UCSF Sabah mempunyai lebih 1,000 pelajar merangkumi empat fakulti iaitu Fakulti Sains Semula Jadi dan Kelestarian, Fakulti Pembangunan dan Pengajian Media, Fakulti Seni dan Media Kreatif serta Fakulti Pengurusan dan Keusahawanan, dengan penglibatan aktif pelajar daripada semua fakulti dalam program khidmat masyarakat berkenaan.
Naib Canselor UCSF Sabah, Datuk Dr Rafiq Idris, berkata khidmat masyarakat merupakan elemen penting dalam pendidikan holistik yang diterapkan di institusi itu.
“Program khidmat masyarakat memainkan peranan penting dalam membentuk graduan yang bertanggungjawab secara sosial, berperikemanusiaan serta memahami peranan mereka dalam pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Ketua Pusat Bahasa dan Pembangunan Generik, William Bunyau, berkata inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah memperkasa pembangunan pelajar di luar bilik kuliah.
“Program ini menyediakan peluang bermakna kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, di samping memperkukuh kemahiran insaniah yang amat diperlukan dalam dunia kerjaya,” katanya.






