Read Time:1 Minute, 31 Second
SEMPORNA : Tindakan tegas termasuk penutupan operasi akan dilaksanakan terhadap premis pelancongan di daerah ini yang didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, berdasarkan rekod semasa, sejumlah 190 premis pelancongan telah dikenal pasti beroperasi di Semporna namun hanya 45 premis mempunyai lesen sah.
“Manakala 59 premis lagi masih dalam proses kelulusan, dan 86 premis didapati tidak mengambil inisiatif atau menghadapi pelbagai isu pematuhan.
“Isu utama yang dikenal pasti termasuk kegagalan memperoleh Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Perakuan Menduduki (OC), serta masalah berkaitan status tanah.
“Sehubungan itu, Kementerian telah mengarahkan PBT untuk menghentikan penerbitan lesen sementara kepada mana-mana premis yang tidak memenuhi keperluan peraturan sedia ada.
“Pada masa yang sama, tindakan tegas, termasuk penutupan operasi, akan dilaksanakan terhadap premis yang terus beroperasi tanpa pematuhan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas di Majlis Daerah Semporna di sini pada Khamis.
Mesyuarat itu adalah bagi mengkaji status penguatkuasaan terkini, cabaran pematuhan, dan tindakan segera yang diperlukan bagi menangani operasi pelancongan tanpa lesen di daerah ini.
Jafry berkata, lanjutan tempoh selama tiga bulan diberikan bagi pengusaha memohon lesen sejak Pasukan Petugas ditubuhkan pada Disember tahun lepas.
“Dengan baki kurang daripada dua bulan sebelum tarikh akhir ini, saya menyeru semua pengusaha pelancongan untuk mengambil tindakan segera dan mematuhi peraturan serta undang-undang sedia ada bagi memastikan keselamatan pengunjung dan integriti industri pelancongan.
“Langkah ini amat penting untuk menegakkan standard keselamatan, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar, dan imej pelancongan Sabah. Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjejaskan keselamatan pelancong atau reputasi industri pelancongan negeri,” katanya.
Menurutnya, kementeriannya bersama agensi berkaitan, akan terus memperkukuh koordinasi penguatkuasaan sambil membantu pengusaha yang komited untuk mematuhi peraturan, memastikan industri pelancongan Semporna berkembang secara teratur, bertanggungjawab, dan lestari. – SABAH MEDIA






