Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tuntutan MA63 diselesaikan melalui rundingan, bukan perbalahan – PM Anwar

Read Time:1 Minute, 20 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU :  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penyelesaian isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilakukan melalui perbincangan rasional, bukannya melalui ‘berperang’ atau perbalahan.

Menurut beliau, kerajaan pimpinan MADANI berpegang kepada prinsip keadilan dan semangat perpaduan dalam menguruskan tuntutan Sabah dan Sarawak, termasuk isu tuntutan 40 peratus hasil cukai yang menjadi perbahasan selama ini.

“MA63 ini kita selesaikan melalui rundingan, bukan jeritan atau perbalahan. Saya telah lantik Timbalan Perdana Menteri 2 Datuk Seri Fadillah Yusof untuk pengerusikan Jawatankuasa Teknikal bagi memastikan setiap perkara dibincang secara matang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Rancakkan MADANI Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Ahad.

Anwar berkata, kerajaan pimpinannya tidak menolak tuntutan Sabah dan Sarawak, malah sudah mengambil langkah progresif dengan meningkatkan peruntukan khas sementara (interim) bagi kedua-dua negeri berkenaan.

“Dulu hanya RM16 juta, naik sedikit jadi RM56 juta. Saya kata tak cukup. Kita runding, saya naikkan jadi RM300 juta kepada Sabah dan RM300 juta kepada Sarawak.

“Tahun ini pula, saya tambah lagi jadi RM600 juta untuk Sabah dan RM600 juta untuk Sarawak sebagai interim sementara kita muktamadkan persetujuan,” jelasnya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa sebarang penyelesaian mesti berpaksikan kemampuan kewangan negara agar tidak membebankan rakyat secara keseluruhan.

“Saya boleh janji bagi RM2 bilion, tapi duit dari mana? Hutang dulu? Tak boleh. Kita nak buat dengan tanggungjawab, bukan janji kosong. Jadi, sementara itu kita runding lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan bahawa semangat MA63 bukan sekadar soal angka atau tuntutan, tetapi lambang kerjasama dan kepercayaan antara wilayah untuk membina Malaysia yang adil dan makmur. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE