Read Time:1 Minute, 44 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan mengambil tindakan segera susulan kejadian seorang guru madrasah yang dilaporkan melakukan kekasaran terhadap pelajar di sini baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, pihaknya telah menggerakkan sepasukan pegawai jabatan itu untuk turun ke premis berkenaan bagi mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian itu.
“Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk turun ke premis berkenaan pagi ini dan laporan daripada pasukan sedang disiapkan dan hari ini juga kita akan terima laporan penuh.
“Berdasarkan dapatan tersebut, kita akan bertindak apa yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan seorang guru madrasah yang dilaporkan melakukan kekasaran terhadap beberapa orang pelajar sekolah berkenaan seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Jumain berkata, tindakan jangka pendek yang diambil bukan bertujuan menutup pusat tahfiz terbabit, sebaliknya memberi tumpuan kepada kaedah penyelesaian bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Sekiranya kesalahan itu melibatkan tindakan polis, kita tidak sampai ke peringkat menutup pusat tahfiz berkenaan.
“Namun, kita akan berbincang dengan pihak pengurusan supaya ada kaedah lain yang lebih sesuai dalam menangani isu disiplin pelajar,” katanya.
Sementara itu, Jumain berkata, sebarang bentuk kekasaran, apatah lagi melibatkan penggunaan objek keras, adalah tidak wajar dilakukan oleh tenaga pengajar walaupun berdepan masalah disiplin pelajar.
“Disiplin tetap perlu ditegakkan, tetapi tidaklah sampai ke peringkat memukul, menendang atau menggunakan objek keras. Ada kaedah lain seperti nasihat dan pendekatan berhikmah,” katanya.
Menurutnya, pusat tahfiz terbabit mempunyai kira-kira 90 pelajar dengan hanya lima tenaga pengajar, sekali gus mengakui tekanan kerja mungkin menjadi antara faktor berlakunya insiden tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pusat tahfiz berkenaan merupakan institusi swasta yang menggunakan silibus JHEAINS dan berada di bawah seliaan jabatan berkenaan.
“Pemantauan dan pemutihan pusat-pusat tahfiz swasta sedang berjalan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan pelajar dan pematuhan syarat ditetapkan sentiasa dipatuhi.
“Saya minta semua pengusaha pusat tahfiz dan madrasah supaya mengutamakan pendekatan berhemah dan berperikemanusiaan dalam mendidik pelajar, khususnya dalam menangani isu disiplin. – SABAH MEDIA






