Read Time:1 Minute, 18 Second
Oleh Mu Vitet
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama penganut Hindu hadir memeriahkan sambutan Deepavali di Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Bukit Padang, di sini.
Ketibaan beliau disambut oleh Presiden Persatuan Kuil Hindu Kota Kinabalu, Datuk Dr K. Mathavan, sebelum diberi kalungan bunga sebagai tanda penghormatan.
Tun Musa kemudian melawat ruang altar kuil berkenaan sebelum dijemput ke meja utama untuk menikmati sarapan bersama tetamu lain, termasuk Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Goh Tian Chuan.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan India Sabah (SIA), Datuk Dr Mohan Gopal Naidoo, berkata kehadiran Tuan Yang Terutama itu merupakan satu penghormatan besar kerana beliau lazimnya hanya menghadiri majlis rasmi peringkat negeri.
“Namun kali ini, melihat Tuan Yang Terutama hadir ke kuil kecil ini amat bermakna bagi kami,” katanya.
Beliau berkata, pihak kuil menganjurkan majlis sarapan bersama tetamu setiap tahun sebagai sebahagian daripada tradisi sambutan Deepavali.
Dr Mohan, yang juga bekas Pengarah Hospital Tuaran, menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, bahasa dan budaya perlu sentiasa mengekalkan keharmonian serta perpaduan.
“Untuk mencapai matlamat itu, aktiviti seperti ini dapat membantu memperkukuh indeks integrasi nasional, dan Sabah adalah contoh terbaik,” katanya.
“Kita telah mencapai banyak kemajuan, namun usaha perlu diteruskan. Program sebegini menjadi pemangkin kepada perpaduan dan boleh dijadikan inspirasi kepada negeri-negeri lain untuk mencontohi Sabah,” tambahnya.
Turut hadir ialah Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, serta Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee, bersama beberapa tetamu kehormat lain.