Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tun Musa dilantik sebagai Canselor UMS

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, hari ini menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Majlis penyerahan watikah pelantikan itu berlangsung di Balai Istiadat Istana Seri Kinabalu di sini, pada Ahad. 

Majlis bersejarah itu turut dihadiri isteri Tun Musa, Toh Puan Faridah Tussin, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.

Pelantikan itu menjadikan Tun Musa sebagai Canselor keempat universiti berkenaan sejak penubuhannya pada tahun 1994.

Tempoh pelantikan Tun Musa sebagai Canselor adalah selama tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2025 sehingga 31 Disember 2028.

Sementara itu, Zambry menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pelantikan Tun Musa sebagai Canselor UMS yang keempat adalah selaras dengan Subseksyen 10(1) Perlembagaan UMS, yang memperuntukkan bahawa Canselor ialah Ketua Universiti dan bertanggungjawab mempengerusikan Majlis Konvokesyen Universiti.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghormatan serta menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas memperkenankan pelantikan ini.

“Ia mencerminkan penghargaan terhadap kepimpinan dan pengalaman luas Tun Musa Aman dalam membangunkan negeri Sabah dan negara termasuk peranan beliau sebelum ini sebagai Ketua Menteri Sabah serta memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara dan negeri,” katanya.

Menurutnya, pelantikan itu diyakini akan terus memperkasa agenda pendidikan tinggi negara, khususnya dalam mengangkat UMS dan Negeri Sabah sebagai hab ilmu dan inovasi terbaik di rantau ini terutamanya sebagai ‘The Brain of Borneo’. 

LEAVE A RESPONSE