Read Time:2 Minute, 21 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah menumpaskan beberapa kegiatan pengedaran dadah hasil enam operasi berasingan di Semporna dan Kota Kinabalu, dengan menahan tujuh lelaki serta mencatat rampasan lebih 48 kilogram dadah bernilai hampir RM1.6 juta.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kes terbesar dalam siri operasi tersebut membabitkan rampasan 46.4 kilogram dadah jenis syabu di Kampung Air, Semporna.
Dalam kejadian itu, anggota Unit Kenderaan Peronda Polis (MPV) menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 29 tahun yang didapati menolak kereta sorong berisi empat kotak besar di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 45 bungkusan mengandungi syabu dengan anggaran nilai RM1,484,800.
“Saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine dan suspek yang tidak bekerja itu ditahan reman hingga 26 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya semasa sidang media di Pejabat JSJN Sabah di sini hari ini.
Jauteh berkata, pihak polis kemudian membuat tangkapan susulan di Pulau Denawan pada 20 Oktober yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 35 tahun, namun tiada rampasan dibuat.
Sementara itu, dalam operasi di Kota Kinabalu, lima tangkapan lain dibuat melibatkan rampasan ganja seberat 1.3 kilogram dan syabu seberat satu kilogram.
“Dalam operasi pertama pada 16 Oktober, polis menahan seorang tukang masak berusia 26 tahun di Terminal Kereta Sewa Bandaran dan merampas 1.06 kilogram ganja bernilai RM3,500.
“Siasatan mendapati, suspek positif dadah jenis THC dan memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Serbuan kedua di sebuah taman perumahan di Kepayan pada hari sama menemukan 3.52 gram ganja daripada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang tidak bekerja,” katanya.
Tambahnya, pada 17 Oktober, seorang pemandu selam berusia 40 tahun ditahan di Jalan Penampang bersama 139.9 gram ganja bernilai RM1,000 yang dipesan dari Kuala Lumpur.
“Sehari kemudian, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di sebuah taman perumahan di Kingfisher Sulaman bersama 24.17 gram ganja bernilai RM200, manakala kesemua suspek berkenaan direman antara 23 hingga 24 Oktober bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam operasi berasingan pada 20 Oktober, seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 33 tahun ditahan di hadapan sebuah hotel bersama satu kilogram syabu bernilai RM32,000,” katanya sambil menambah saringan air kencing mendapati suspek positif THC, methamphetamine dan amphetamine.
Jauteh berkata, JSJN Sabah dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) turut memintas satu bungkusan mengandungi 591 gram ganja di gudang Pos Aviation Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 17 Oktober.
“Bungkusan itu dipercayai dihantar dari Kelantan ke Sabah menggunakan perkhidmatan pos, namun tiada tangkapan dibuat. Kesemua kejayaan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada polis.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.