Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tujuh kampung di Tenom dinaiki air

Read Time:1 Minute, 1 Second

TENOM: Sebanyak tujuh kampung di daerah Tenom dilaporkan dinaiki air berikutan hujan tidak menentu sejak Khamis lalu yang menyebabkan limpahan Sungai Padas serta sungai-sungai kecil di kawasan berkenaan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tenom dalam kenyataan memaklumkan, antara kampung terlibat ialah Kampung Enubai (Jalan Labut), Kampung Ponontomon, Kampung Ponontomon Tanjung, Kampung Pantungon Saga, Kampung Mandalom Lama, Kampung Tumantalik dan Kampung Pantongan Sapong.

Menurut kenyataan itu, beberapa kawasan kampung terjejas teruk sehingga tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan, manakala laluan di Kampung Ponontomon hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda (4×4).

Bacaan paras air Sungai Padas pada jam 11.41 pagi merekodkan 176.41 meter, melepasi paras amaran iaitu 176.25 meter dan menunjukkan trend air masih menaik. Paras bahaya sungai tersebut ditetapkan pada 177.00 meter.

Meskipun situasi banjir melibatkan beberapa penempatan penduduk, setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka, selain tiada laporan jalan terputus, sekolah terjejas, kejadian tanah runtuh, kes kecemasan atau fasiliti kesihatan terlibat.

Keadaan cuaca di Tenom dilaporkan mendung dan pemantauan akan terus dijalankan berikutan risiko peningkatan paras air sekiranya hujan berterusan.

Menurut APM lagi, pasukan operasi daerah kini berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya sekiranya keadaan banjir bertambah buruk. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE