Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tradisi ‘Mantatabang’ terus subur di Kampung Sandapak

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Silar Pinikit

KENINGAU: Tradisi gotong-royong atau mantatabang dalam bahasa etnik Dusun Gana terus diamalkan masyarakat Kampung Sandapak walaupun era digital semakin mengubah gaya hidup masa kini.

Seramai 35 penduduk dari Kampung Sandapak dan kampung berhampiran hadir menjayakan program tahunan pembersihan tanah perkuburan Kristian dan Islam di kampung itu, semalam.

Program tersebut menjadi simbol perpaduan dan semangat kebersamaan masyarakat setempat yang masih teguh memelihara nilai warisan nenek moyang.

Ketua Kampung Sandapak, Ambrus Enggu Ungkiu Singgon, berkata usaha itu mencerminkan kesepakatan tinggi dalam kalangan penduduk yang tidak mementingkan diri, sebaliknya mengutamakan keharmonian serta tanggungjawab bersama.

“Saya amat menghargai ketangkasan dan kerjasama penduduk. Mereka datang dengan semangat sukarela tanpa mengira usia atau latar belakang. Inilah contoh sebenar mantatabang yang masih subur dalam masyarakat kita,” katanya ketika ditemui semasa program itu pada Jumaat lalu.

Turut sama menjayakan aktiviti tersebut ialah Pengerusi Kelab Kebajikan Tanah Perkuburan Masyarakat Sandapak (KTPMS), Enggon Michael Asong Atam, dan Pengerusi Kelab Susah Senang Kampung Sandapak (KSSKS), Jefferinus Jitoh Mikat.

Menurut mereka, inisiatif itu bukan sekadar membersihkan kawasan perkuburan, tetapi juga satu bentuk penghormatan kepada insan yang telah pergi mendahului kerana tanah perkuburan yang bersih dan indah memberi ketenangan kepada keluarga yang datang menziarahi.

“Apabila kawasan ini bersih dan terjaga, hati menjadi sejuk dan tenang. Ia bukan tempat menakutkan, sebaliknya tempat mengenang kasih dan menghantar doa buat mereka yang telah pergi,” kata seorang penduduk, Wanddy Juspinah Munsau Bungin.

Program gotong-royong itu sekali lagi membuktikan bahawa nilai murni masyarakat kampung di Mukim Bingkor, khususnya di daerah Keningau, tidak pernah pudar. Malah, ia terus berakar di bumi sendiri, menjadi tali pengikat antara yang hidup dan yang telah tiada.

LEAVE A RESPONSE