Tindakan tegas akan diambil terhadap penyebaran berita palsu berkaitan harga minyak, elektrik – PM
BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kerajaan meminta pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berkaitan harga minyak dan elektrik yang dikesan semakin berleluasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini, MCMC telah mengesan sebanyak 96 kandungan berita palsu berkaitan isu berkenaan di media sosial.
Menerusi mesej video hari ini, beliau berkata penyebaran maklumat tidak benar itu berlaku ketika negara berdepan cabaran luar biasa susulan krisis tenaga global sekali gus boleh menjejaskan kestabilan dan mengelirukan rakyat.





