Read Time:1 Minute, 29 Second
PUTATAN: Impak penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran mampu melahirkan generasi pemimbing dan melebar syiar agama di kalangan umat Muslim di daerah ini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata selain dapat meningkatkan akidah, ia bahkan membantu mendidik masyarakat setempat mengenai perihal dan tanggungjawab sebagai penganut Islam.
“Ini juga wadah penting untuk menyemarakkan syiar Islam, memperkukuhkan kecintaan terhadap al-Quran, serta menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Oleh yang demikian, Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran turut memberi inspirasi kepada kita untuk kecintaan umat Islam kepada al-Quran sebagai panduan hidup, “katanya dalam ucapan perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran di Masjid Daerah Putatan, malam Jumaat.
Hadir sama adalah ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, Pegawai Daerah Putatan; Masawi Salleh dan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Putatan; Aisah Ohdin.
Terdahulu, majlis berkenaan menyaksikan qari tempatan, Nashraf Ideen Nahar serta qariah Pangiran Dg Saliah Awang Salleh masing-masing membawa pulang hadiah utama dan sekaligus mewakili daerah Putatan ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran pada tahun ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran program tersebut, Shahelmey berkata, ia adalah rangkaian pelaksanaan Majlis Tilawah al-Quran Negeri Sabah, sebelum diteruskan ke peringkat bahagian, negeri dan seterusnya kebangsaan.
“Oleh itu, saya berharap para peserta yang terpilih nanti bukan sahaja mempunyai kemahiran bacaan dan hafazan yang cemerlang, malah menjadi duta al-Quran, membawa imej Islam yang mulia serta menjadi contoh kepada masyarakat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini, khususnya jawatankuasa penganjur, para hakim, para petugas serta semua yang telah menyumbang tenaga dan idea.
“Semoga Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran ini mendapat keberkatan Allah SWT, melahirkan insan-insan al-Quran, dan seterusnya membina Daerah Putatan sebagai masyarakat yang berilmu, berakhlak dan dicintai Allah, “katanya.






