KOTA KINABALU: Seorang wanita yang menikam kekasihnya didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyebabkan kecederaan.
Jolly An Regencia, 36, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Jolly, seorang warga Filipina, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun menggunakan sebilah pisau.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 Disember lalu, antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, di sebuah unit kediaman di Cybercity Apartment.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 24 Februari tahun hadapan untuk sebutan kes dan membenarkan tertuduh, yang memiliki passport, diikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah mengendalikan pendakwaan.






